"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku
telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah
Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan
mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka
mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah
hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang
beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai
jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[IBRAHIM 14: AYAT 37]
Setiap
jiwa manusia, pasti akan merasai kegelisahan, keresahan ataupun kerisauan. Ini
pastinya satu fitrah yang telah pun Allah anugerahkan kepada makhluk-Nya yang
teristimewa ini. Apabila dalam kekalutan, keresahan, kerisauan, maka manusia
itu menginginkan ketenangan dan pastinya dia akan berusaha untuk mencari
ketenangan tersebut. Sakinah itulah yang membawa maksud ketenangan, atau dari
segi bahasanya diam seketika. Jika Allah hendak berikan ketenangan itu,
pastinya Dia akan menguji hamba-Nya terlebih dahulu supaya kita dapat menikmati
nikmat (ketenangan) itu dengan sepenuhnya.
Ramai
manusia telah tersalah sangka bahawa ketenangan atau kebahagiaan. Selalu orang
mengaitkan ketenangan itu datangnya daripada faktor harta yang banyak dan
faktor kekayaan. Harta mungkin merupakan salah satu faktor yang membawa manusia
kepada kebahagiaan, tetapi bukanlah ia segala-galanya dalam hidup ini. Betapa
ramai orang yang tinggal dalam rumah yang besar, tidur atas katil yang empuk,
tetapi tidurnya mungkin tidak lenanya atau tidurnya mungkin tidak nyenyak.
Bahkan mungkin ada mereka yang tinggal dipondok yang buruk miliki tidur yang
lebih lena dan nyenyak daripada kita. Mungkin si kaya sedang memikirkan
bagaimana hendak menjaga hartanya daripada dicuri atau dirompak, manakala si
miskin tidak perlu untuk memikirkan perkara-perkara itu.
Kadang-kala,
ada pula orang yang di hadapannya dihidangkan makanan yang mewah-mewah, lauk
pauk yang hebat belaka, tetapi mungkin dilidahnya dia tidak dapat untuk
menikmati keenakkan makanan tersebut. Mungkin lebih enak lagi di lidah orang
yang hanya makan satu atau dua jenis lauk yang biasa-biasa sahaja. Kata HAMKA,
“lihatlah bagaimana Allah telah membahagi-bahagikan rezeki-Nya dan nikmat-Nya
kepada makhluk-makhluk”. Pastinya dalam keadaan yang sangat adil dan seimbang.
Ramai
orang sangka jika mempunyai rumah yang besar, makan makanan yang sedap (mewah),
pastinya orang itu orang yang memiliki kebahagiaan dan ketenangan. Belum tentu!
Jika Allah hendak berikan kebahagiaan kepada seseorang, ianya pasti tidak boleh
dihalang oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika Allah menghalang kebahagiaan dan
ketenangan daripada dimiliki oleh seseorang, dia pastinya tidak akan mendapat
kebahagiaan itu daripada apa-apa tangan sekalipun.
Kalau kamu tidak
menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu
ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia
salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika
ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya
Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram
(SAKINAH) kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera
(malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik)
orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah
(Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
[AT-TAUBAH 9: AYAT 40]
Hendaklah
kita sentiasa bertawakal kepada Allah dan menyerahkan segala urusan kita diuruskan
dan ditadbir oleh Allah. Semoga Allah tidak menyerahkan urusan diri kita kepada
diri kita sendiri walaupun sekelip mata. Manusia, dunia ini boleh saja
memperlaku apa saja kepada diri kita, namun tidak ada yang boleh mencabar
kebesaran dan kekuasaan Allah. Jika Allah yang mengurus dan mengatur hidup
kita, mungkin pada sangkaan orang kita akan tewas tetapi Allah-lah yang
memenangkan dan kita akan lihat kemenangan di sisi Allah. Apa yang orang lain
berasa rugi, Allah-lah yang memberi keuntungan kepada diri kita yang mana
melalui jalan-jalan yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. Allah boleh
mendatangkan keajaipan dalam kehidupan ini.
Kadang
kala dalam kehidupan ini, kita kehilangan sesuatu dan kita rasa bagaikan telah
hilang segala-galanya. Apabila dilanda musibah dan kita pula merasakan inilah
yang paling perit sekali pernah dilalui dalam hidup ini. Tetapi hari ini Allah
telahpun mengeluarkan kita daripada segala keperitan dan kesempitan kepada
hidup yang seperti sediakala ini. Masa ini masih lagi berjalan, usia kita terus
meningkat dan kita masih lagi mampu menikmati kurniaan hidup ini,
alhamdulillah. Janganlah sampai kita lupa, yang Allah telahpun banyak kali
menyelemat dan mengeluarkan kita daripada kesusahan kehidupan ini dan
bersyukurlah dengan nikmat itu.
Telah
Nabi ceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Allah
bawakan seorang manusia yang paling derita hidupnya di dunia, lalu dicelup
seketika ke dalam syurga. Kemudian Allah pun bertanya kepadanya, adakah engkau
pernah merasai derita ketika masih hidup, lalu orang itu pun menjawab
bahawasanya dia tidak pernah merasai derita. Begitu cepat dia lupakan deritanya
di dunia. Kemudian Allah bawakan pula seorang manusia yang tidak pernah merasai
derita ketika hidup di dunia, lalu dicelup seketika ke dalam neraka. Kemudian
Allah pun bertanya kepadanya, adakah engkau pernah merasai segala nikmat ketika
masih hidup, lalu orang itu pun menjawab dia tidak pernah merasai kebahagiaan.
Semuanya hanya kerana satu celup sekelip mata yang mampu merubah
segala-galanya.
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian
dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah
nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang
ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak
menghargai nikmat Tuhannya.
[IBRAHIM 14: AYAT 34]
Kita
selalu sangka hendak bersyukur itu kalau kita dianugerahkan sesuatu kepada
kita. Kita lupa bahawa hakikat yang kita sedang miliki ini merupakan satu
nikmat yang besar. Sebagai contoh, seorang hamba yang patah tanganya, pastinya
dia ketika sihat tidak pernah untuk mensyukuri nikmat itu. Namun apabila sudah
berada dalam keadaan kurang upaya, maka pada ketika itu barulah dia sedar
bahawa besarnya nikmat Allah itu kepada dirinya. Kata HAMKA, “yang ada ini
sudah harapan kita”. Bukan satu kesalahan untuk kita mengharapkan sesuatu yang
baru tetapi jangan dilupa benda yang sudah ada.
Para
sarjana mengatakan bahawa darjat syukur itu lebih tinggi daripada darjat sabar.
Ramai orang yang terpaksa bersabar, tetapi belum tentu orang yang mendapat
nikmat itu mampu untuk bersyukur. Jika kita benar-benar perhatikan kehidupan
kita ini, pasti kita akan sedar bahawa apa yang Allah berikan ini adalah sudah
melebihi daripada apa yang kita harapkan dan daripada apa yang kita perlukan.
Orang
yang tidak melalui pastinya dia tidak akan memahami maksudnya. Telah ramai
orang yang hidup dahulu dan bertawakal kepada Allah, mereka telah merasai dan
mengetahui akan keajaipan hidup bertawakal. Hasbunallahu wanikmal wakil
(cukuplah Allah yang menolong kami dan terserah segala urusan kami kepada-Nya)
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh
orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik)
telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun
kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata:
"Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang
terserah kepadaNya segala urusan kami)".
[ALI IMRAN 3: AYAT 173]
~Wallahua'lam~