Wednesday 9 December 2015

Mencari SAKINAH

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
[IBRAHIM 14: AYAT 37]

Setiap jiwa manusia, pasti akan merasai kegelisahan, keresahan ataupun kerisauan. Ini pastinya satu fitrah yang telah pun Allah anugerahkan kepada makhluk-Nya yang teristimewa ini. Apabila dalam kekalutan, keresahan, kerisauan, maka manusia itu menginginkan ketenangan dan pastinya dia akan berusaha untuk mencari ketenangan tersebut. Sakinah itulah yang membawa maksud ketenangan, atau dari segi bahasanya diam seketika. Jika Allah hendak berikan ketenangan itu, pastinya Dia akan menguji hamba-Nya terlebih dahulu supaya kita dapat menikmati nikmat (ketenangan) itu dengan sepenuhnya.

Ramai manusia telah tersalah sangka bahawa ketenangan atau kebahagiaan. Selalu orang mengaitkan ketenangan itu datangnya daripada faktor harta yang banyak dan faktor kekayaan. Harta mungkin merupakan salah satu faktor yang membawa manusia kepada kebahagiaan, tetapi bukanlah ia segala-galanya dalam hidup ini. Betapa ramai orang yang tinggal dalam rumah yang besar, tidur atas katil yang empuk, tetapi tidurnya mungkin tidak lenanya atau tidurnya mungkin tidak nyenyak. Bahkan mungkin ada mereka yang tinggal dipondok yang buruk miliki tidur yang lebih lena dan nyenyak daripada kita. Mungkin si kaya sedang memikirkan bagaimana hendak menjaga hartanya daripada dicuri atau dirompak, manakala si miskin tidak perlu untuk memikirkan perkara-perkara itu.

Kadang-kala, ada pula orang yang di hadapannya dihidangkan makanan yang mewah-mewah, lauk pauk yang hebat belaka, tetapi mungkin dilidahnya dia tidak dapat untuk menikmati keenakkan makanan tersebut. Mungkin lebih enak lagi di lidah orang yang hanya makan satu atau dua jenis lauk yang biasa-biasa sahaja. Kata HAMKA, “lihatlah bagaimana Allah telah membahagi-bahagikan rezeki-Nya dan nikmat-Nya kepada makhluk-makhluk”. Pastinya dalam keadaan yang sangat adil dan seimbang.

Ramai orang sangka jika mempunyai rumah yang besar, makan makanan yang sedap (mewah), pastinya orang itu orang yang memiliki kebahagiaan dan ketenangan. Belum tentu! Jika Allah hendak berikan kebahagiaan kepada seseorang, ianya pasti tidak boleh dihalang oleh apa-apa tangan sekalipun. Jika Allah menghalang kebahagiaan dan ketenangan daripada dimiliki oleh seseorang, dia pastinya tidak akan mendapat kebahagiaan itu daripada apa-apa tangan sekalipun.

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram (SAKINAH) kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[AT-TAUBAH 9: AYAT 40]

Hendaklah kita sentiasa bertawakal kepada Allah dan menyerahkan segala urusan kita diuruskan dan ditadbir oleh Allah. Semoga Allah tidak menyerahkan urusan diri kita kepada diri kita sendiri walaupun sekelip mata. Manusia, dunia ini boleh saja memperlaku apa saja kepada diri kita, namun tidak ada yang boleh mencabar kebesaran dan kekuasaan Allah. Jika Allah yang mengurus dan mengatur hidup kita, mungkin pada sangkaan orang kita akan tewas tetapi Allah-lah yang memenangkan dan kita akan lihat kemenangan di sisi Allah. Apa yang orang lain berasa rugi, Allah-lah yang memberi keuntungan kepada diri kita yang mana melalui jalan-jalan yang tidak pernah disangka oleh sesiapa pun. Allah boleh mendatangkan keajaipan dalam kehidupan ini.

Kadang kala dalam kehidupan ini, kita kehilangan sesuatu dan kita rasa bagaikan telah hilang segala-galanya. Apabila dilanda musibah dan kita pula merasakan inilah yang paling perit sekali pernah dilalui dalam hidup ini. Tetapi hari ini Allah telahpun mengeluarkan kita daripada segala keperitan dan kesempitan kepada hidup yang seperti sediakala ini. Masa ini masih lagi berjalan, usia kita terus meningkat dan kita masih lagi mampu menikmati kurniaan hidup ini, alhamdulillah. Janganlah sampai kita lupa, yang Allah telahpun banyak kali menyelemat dan mengeluarkan kita daripada kesusahan kehidupan ini dan bersyukurlah dengan nikmat itu.

Telah Nabi ceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Allah bawakan seorang manusia yang paling derita hidupnya di dunia, lalu dicelup seketika ke dalam syurga. Kemudian Allah pun bertanya kepadanya, adakah engkau pernah merasai derita ketika masih hidup, lalu orang itu pun menjawab bahawasanya dia tidak pernah merasai derita. Begitu cepat dia lupakan deritanya di dunia. Kemudian Allah bawakan pula seorang manusia yang tidak pernah merasai derita ketika hidup di dunia, lalu dicelup seketika ke dalam neraka. Kemudian Allah pun bertanya kepadanya, adakah engkau pernah merasai segala nikmat ketika masih hidup, lalu orang itu pun menjawab dia tidak pernah merasai kebahagiaan. Semuanya hanya kerana satu celup sekelip mata yang mampu merubah segala-galanya.

Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.
[IBRAHIM 14: AYAT 34]

Kita selalu sangka hendak bersyukur itu kalau kita dianugerahkan sesuatu kepada kita. Kita lupa bahawa hakikat yang kita sedang miliki ini merupakan satu nikmat yang besar. Sebagai contoh, seorang hamba yang patah tanganya, pastinya dia ketika sihat tidak pernah untuk mensyukuri nikmat itu. Namun apabila sudah berada dalam keadaan kurang upaya, maka pada ketika itu barulah dia sedar bahawa besarnya nikmat Allah itu kepada dirinya. Kata HAMKA, “yang ada ini sudah harapan kita”. Bukan satu kesalahan untuk kita mengharapkan sesuatu yang baru tetapi jangan dilupa benda yang sudah ada.

Para sarjana mengatakan bahawa darjat syukur itu lebih tinggi daripada darjat sabar. Ramai orang yang terpaksa bersabar, tetapi belum tentu orang yang mendapat nikmat itu mampu untuk bersyukur. Jika kita benar-benar perhatikan kehidupan kita ini, pasti kita akan sedar bahawa apa yang Allah berikan ini adalah sudah melebihi daripada apa yang kita harapkan dan daripada apa yang kita perlukan.


Orang yang tidak melalui pastinya dia tidak akan memahami maksudnya. Telah ramai orang yang hidup dahulu dan bertawakal kepada Allah, mereka telah merasai dan mengetahui akan keajaipan hidup bertawakal. Hasbunallahu wanikmal wakil (cukuplah Allah yang menolong kami dan terserah segala urusan kami kepada-Nya)

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
[ALI IMRAN 3: AYAT 173]


~Wallahua'lam~

No comments:

Post a Comment